Monday, February 11, 2013

HIKMAH PENSYARIATAN SOLAT BERJEMAAH DALAM ISLAM-Bahagian 1


PENDAHULUAN

Agama Islam sangat mementingkan amalan solat berjemaah di kalangan umat Rasulullah S.A.W. Solat berjemaah mengandungi pelbagai hikmah yang meliputi individu, masyarakat dan ummah seluruhnya. Antara dalil pensyariatan solat berjemaah yang dapat di ambil dari Al-Quran ialah dari Surah al-Nisa’:4, ayat 102 yang bermaksud:
“Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh) dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjama`ah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan hartabenda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.”
            Di sini berlakunya khilaf atau berbeza pendapat di antara empat mazhab besar bagi menentukan hukum solat berjemaah. Berlakunya percanggahan pendapat ini adalah perkara biasa terutamanya dalam sola furu’iah (cabang masalah feqah). Bagi pendapat Mazhab Syafie yang menjadi pegangan di kalangan masyarakat Islam di Malaysia adalah berhukum fardu Kifayah.
Menjurus kepada kehendak tugasan yang diberikan kepada penulis, saya akan menghuraikan mengenai beberapa aspek di dalam solat berjemaah sebagaimana yang dinyatakan di bawah:
A.    Empat hikmah pensyariatan solat berjemaah dalam Islam.
B.     Empat hubungkait hikmah solat berjemaah dengan aspek perpaduan di kalangan umat Islam di Malaysia.
C.     Empat kaedah bagi menggalakkan amalan solat berjemaah di institusi atau dalam masyarakat.       

Thursday, January 10, 2013

Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 7 (Akhir)


KESIMPULAN
Kitab Al-Quran merupakan Kitabullah yang terakhir; diturunkan oleh Malaikat Jibril a.s kepada Rasulullah S.A.W sebagai panduan utama umat Islam di dalam melaksanakan segala  tanggungjawab seorang  khalifah Allah untuk memakmurkan bumi ini
Namun, atas beberapa faktor seperti mushaf Al-Quran yang tidak boleh dibaca serta bukan Rasm Uthmani, Naskah yang mengalami kerosakan, kesilapan dalam cetakan serta naskah yang telah usang dan lama terbiar menjadika ia penyebab kepada harusnya untuk dilupuskan. Bertepatan dengan sumber-sumber syariah Islam iaitu ijmak dan qias telah memutuskan bahawa melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke 30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 telah memutuskan :
        i.            Bahan buangan atau lebihan yang mengandungi huruf atau ayat-ayat suci al-Quran hendaklah dilupuskan secara berasingan daripada bahan-bahan lain, serta dilarang menggunanya semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.
      ii.            Kaedah pelupusan sama ada secara pembakaran atau ditanam. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan adalah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal. (Dato’ Haji Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz : 2008 )
Bagi cara pelupusannya, telah ditetapkan di bawah Seksyen 11(1) bahawa seseorang yang mencetak sesuatu  teks Al-Quran atau bahan Al-Quran hendaklah mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan bahawa apa-apa bahan buangan yang di atasnya tercetak sesuatu ayat Al-Quran dimusnahkan dengan serta merta dengan membakarnya di suatu tempat bertutup yang tidak dapat dimasuki oleh orang awam dan tidak meninggalkan premis, dengan apa-apa cara pun, kecuali semasa ia dipindahkan ke suatu tempat untuk dimusnahkan.(ww.moha.gov.my)
Justeru, melalui fatwa yang telah dikeluarkan dan peruntukkan undang-undang yang dibuat melalui penerangan serta pendedahan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merupakan satu garis panduan yang jelas dalam menentukan kaedah serta syarat-syarat yang berkaitan dengan proses perlupusan naskah dan teks Al-Quran di negara Malaysia.

Saturday, January 05, 2013

Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 6


(E) BADAN YANG BERTANGGUNGJAWAB DALAM MENGUSAHAKAN PELULUPSAN AL-QURAN

Pada bahagian kelima ini, penulis akan menjelaskan beberapa badan yang bertanggungjawab dalam mengusahakan pelupusan Al-Quran melalui kaedah-kaedah yang dijelaskan pada bahagian keempat tadi. Kita mulakan sebagaimana di bawah:
                                         
  1. Kementerian Dalam Negeri
Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian  Dalam Negeri (KDN) telah terlibat memadalahikul tanggungjawab dalam memastikan proses pelupusan teks atau naskhah Al-Quran memenuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Salah satu daripada usaha yang dijalankan adalah termasuk peristiwa pelupusan Al-Quran yang dibuat hasil usahasama dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, pegawai Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Perak. Proses pembuangan abu teks Al-Quran telah dilakukan berhampiran dengan kawasan perairan TLDM, Lumut, Perak. (www.harianmetro-online.com)

  1. Syarikat Percetakan Saufi
Syarikat Percetakan Saufi adalah syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri, dan memiliki lesen bagi menerbitkan buku, majalah dan mencetak naskhah Al-Quran. Pengerusinya, Rahmat Mahdan telah terlibat secara lanngsung di dalam proses berkaitan perlupusan Al-Quran. Syarikat ini terletak di Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor. Ia menempatkan sebuah gudang yang dipenuhi timbunan naskhah Al-Quran lama, hadis dan buku pembelajaran agama Islam.  
Pihak syarikat telah menggunakan mesin pembakar khas (insinerator) secara berkala iaitu dua kali seminggu. Hasil daripada pembakaran itu, iaitui abu tersebutdikumpulkan di bahagian bawah dan belakang mesin pembakar. Kemudian, abu tersebut ‘dimandikan’ dengan kaedah digaul rata dengan air. Ini adalah bertujuan untuk memudahkannya dimasukkan ke dalam tong khas. Cecair abu tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam telaga khas di kawasan kilang yang sama. Ia direka khas dengan kedalaman 3.5 meter. Denag proses ini, ia dapat menjimatkan masa, tenaga dan pengangkutan serta sebanyak satu tan abu boleh disiapkan dalam masa 20 minit. (Berita Harian: 27 September 2011)

  1. Syarikat Warisan Mukmin
Satu lagi syarikat swasta iaitu Syarikat Warisan Mukmim juga menguruskan proses melupuskan  naskah dan teks Al-Quran dengan kaedah yang betul secara sistematik dan menyeluruh bagi tujuan kemuliaan Al-Quran.
            Mini Insinerator iaitu alat pembakaran yang ringkas dan ia sesuai di tempatkan di kawasan masjid adalah bertujuan bagi memastikan proses pembakaran dilakukan dengan sempurna. Ia berupaya  membakar bahan-bahan kertas sehingga menjadi abu dan tidak berselerak. Tambahan pula ia mampu memerangkap  asap dan gas asidik agar tidak mencemarkan alam sekitar. (www.warisanmukmin.com)

  1. Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Jabatan Mufti Negeri-negeri.
            Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Jabatan Mufti Negeri-negeri juga memainkan pernanan yang amat penting dalam mengawal-selia proses perlupusan Al-Quran yang dilakukan. Jabatan ini bertindak melupuskan abu hasil dari teks atau kitab Al-Quran yang telah sempurna proses pembakarannya.
            Melalui petikan dari Berita Harian Metro iaitu pada September 2011, proses pelupusan naskah dan teks Al-Quran yang diketuai oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria serta 30 ahli rombongan yang terdiri dari pegawai Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, pegawai Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Perak. Proses pelupusan abu kemudiannya dilakukan di sekitar laut perairan pulau berdekatan dengan pangkalan TLDM, Lumut.( www.harianmetro-online.com) 

Monday, December 10, 2012

Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 5


(D) KAEDAH BERKAITAN PROSES PELUPUSAN NASKAH AL-QURAN
Pada bahagian keempat ini, penulis akan menerangkan kaedah-kaedah berkaitan proses pelupusan naskhah dan teks Al-Quran.
  1. Membasuh Ayat-ayat Al-Quran
Kaedah ini memerlukan teks atan mushaf Al-Quran direndam di dalam bekas air bagi memastikan dakwat tersebut terlarut. Ia perlu dilakukan dengan tertib bagi memastikan air sisa basuhan akan terkumpul dalam satu bekas dan ia tidak tercemar dengan bahan najis dan mengalir ke tempat lain . Air sisa basuhan yang telah terkumpul hendaklah dibuang atau dicurahkan ke aliran sungai yang besar atau laut. (Hasliza Hasan:2010)

  1. Teknik Membakar dan Menanam Abu
Kaedah ini merupakan alternatif bagi kes di mana cetakan Al-Quran yang bermutu tinggi di mana amat sukar untuk mengilangkannya dengan teknik basuhan. Proses pembakaran yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan teliti dan berhati-hati agar abu dari hasil pembakaran tidak diterbangkan oleh angin. Apabila proses pembakaran telah sempurna, abu tersebut perlu dikumpulkan untuk ditanam di suatu tempat yang jauh dan tidak terdedah kepada pijakan tapak kaki manusia dan haiwan.

  1. Bakar dan Buang Ke Sungai atau Laut
            Kaedah setersunya merupakan kaedah yang sering dipraktikkan di MalaysiaKaedah ini adalah sama seperti penerangan di atas. Cuma abunya dibuang ke sungai besar atau laut. Namun, kaedah ini memerlukan satu usahasama bersama agensi yang diperwajibkan untuk tugas ini. Sebagai contoh, kaedah ini telah digunakan oleh Syarikat Percetakan Saufi bagi proses perlupusan Al-Quran . Pada September 2011,sebanyak 170 plastik hitam mengandungi abu hasil dari proses pembakaran naskhah Al-Quran yang telah dilakukan di premis syarikat tersebut telah  dipindahkan ke kapal KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum dibawa ke tengah laut kira-kira 8.2 batu nautika dari pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut . Peristiwan ini disaksikan lebih 30 ahli rombongan diketuai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika melakukan proses melupuskan abu Al-Quran di sekitar perairan pulau berkenaan. (www.harianmetro-online.com)

Monday, December 03, 2012

Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 4


(C) BENTUK PENYELEWENGAN DALAM MELUPUSKAN NASKAH AL-QURAN
Pada bahagian ketiga ini penulis akan menjelaskan mengenai penyelewengan yang telah dilakukan di dalam proses perlupusan naskhah Al-Quran:
  1. Naskah Al-Quran Yang Dibuang Merata
Saya mengambil contoh dari petikan akhbar Berita Harian , 30 September 2011 di mana kita telah dikejutkan dengan berita bahawa penduduk berhampiran Beris Kubur Besar, Bachok Kelantan telah menjumpai ribuan helai kertas mengandungi ayat suci Al-Quran yang dibuang di sebuah bangsal lembu di penghujung kampung. Ia dipercayai untuk dilupuskan oleh pihak tertentu.  Mufti Kelantan, Datuk Muhamad Shukri Mohamad,  telah menjelaskan adalah berdosa dan haram hukumnya kepada mana-mana individu yang membuang ayat suci Al-Quran di merata-rata tempat. Ini termasuklah  ucapan perkataan “Bismillah hirrahman nirrahim” yang kebanyakkannya boleh dijumpai dicetak pada kad jemputan undangan perkahwinan! Ia dicetak dengan tulisan dan seni khat yang cantik serta membawa makna yang besar. Inilah yang dikatakan sebagai perbuatan menghina tanpa menyedarinya sebagaimana yang dijelaskan oleh pengerusi Percetakan Saufi, Rahmad Mahdan. ( Hasliza Hasan : 2010 )
  1. Membuang Al-Quran Di Dalam Longkang
Isu ini timbul apabila Harian Metro Berjaya mendedahkan bahawa adanya sikap segelintir manusia yang sanggup membuang Al-Quran di dalam longkang. Memetik dari saksi yang ditemubual, saudara Mohd Anuar Bukhari, 43, dia telah menemui berpuluh-puluh naskhah al-Quran yang dibuang di sebuah syarikat kitar semula di Seremban. Tidak cukup dengan itu, ia dilayan seumpama sampah-sarap yang telah bercampur dengan beberapa sampah yang lain. Tambah mendukacitakan naskah-naskah tersebut telah rosak akibat dari air longkang, najis anjing serta lumpur.
  1. Naskhah Al-Quran Yang Dikitar Semula
Kurangnya ilmu pengetahuan mengenai kaedah yang betul untuk melupuskan naskah Al-Quran telah mendorong pihak-pihak tertentu mengambil jalan mudah dengan menghantar naskah-naskah yang telah rosak dan usang ke pusat kitar semula. Melalui petikan daripada Utusan Malaysia, 26 Jun 2011yang melaporkan penemuan longgokkan beratus naskah Al-Quran dan kitab-kitab lama untuk dilupuskan di sebuah pusat kitar semula kepunyaan orang bukan Islam. Penemuan ini adalah hasil siasatan  oleh sepasukan pegawai dan kakitangan dari Bahagian Pendidikan Pejabat Agama Batu Pahat, Johor serta Unit Penerbitan di Kementerian Dalam Negeri di sebuah pusat kitar semula di Jalan Parit Besar, Batu Pahat, Johor pada 15 Jun 2011. 

Thursday, November 29, 2012

Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 3


(B) DALIL DAN HUKUM BERKAITAN PELUPUSAN NASKAH AL-QURAN
Pada bahagian kedua tugasan ini, penulis akan menyertakan dalil-dalil dan hukum berkaitan dengan perlupusan  naskhah Al-Quran. Saya mulakan dengan dapatan saya dari Syeikh Atiyya Saqar. Beliau merupakan salah seorang ahli Majlis Fatwa al-Azhar. Menurut beliau bahawa perbuatan  membakar Al-Quran adalah diharuskan, jika bertujuan untuk menyelamatkannya dari sebarang penghinaan.. Hujah ini disandarkan kepada riwayat yang telah berlaku pada zaman Saidina Uthman r.a yang pernah mengeluarkan arahan supaya membakar semua Al-Quran
Riwayat yang dimaksudkan adalah sejarah bermulanya pertelingkahan di antara orang Syam dan orang Iraq mengenai Al-Quran. Melalui Imam al-Bukhari dalam meriwayatkan daripada Anas bin Malik mnenai pengaduan Huzaifah bin al-Yaman kepada Saidina Uthman r.a tentang masalah ini yang mahfumnya:
Dia berkata: Wahai Amir al-Mukminin, selamatkanlah mereka itu sebelum pertelingkahan tentang al-Quran merebak, seperti yang telah terjadi kepada kaum Yahudi dan Nasrani. Lantas Saidina Uthman dengan segera menghantar utusan kepada Hafsah lalu berkata: Harap puan dapat hantarkan kepada kami naskhah al-Quran yang tersimpan pada puan untuk kami salin menjadi beberapa naskhah mushaf. Kemudian akan kami kembalikan semula kepada puan. Hafsah pun menghantar naskhah al-Quran itu kepada Uthman. Saidina Uthman dengan segera memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin Zubayr, Said bin al-'As dan Abdul-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menyalin kembali naskhah al-Quran itu ke dalam beberapa naskhah yang lain. Mereka pun terus melaksanakan perintah tersebut. Di samping itu, Saidina Uthman berpesan kepada ketiga-tiga pemuda Quraish dengan katanya: Kalau timbul pertelingkahan di antara kamu bertiga dengan Zayd bin Thabit tentang sesuatu tentang al-Quran, hendaklah kamu tulis perkara itu dengan lahjah Quraish kerana sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dengan lidah Quraish. Lalu mereka pun melaksanakan perintah itu. Apabila selesai menyalin naskhah asal, maka naskhah itu dikembalikan semula kepada Hafsah. Kemudian, naskhah-naskhah yang disalin itu dihantar ke seluruh negara, satu naskhah pada setiap tempat. Segala tulisan al-Quran lain sama ada di kulit-kulit, pelepah tamar dan sebagainya atau dalam bentuk mushaf, diperintah oleh Saidina Uthman untuk dibakarnya.
           
               Berdasarkan riwayat ini,  tujuan naskah yang diperintahkan oleh Saidina Uthman r.a untuk dibakar selepas menyeragamkan kepada bacaan lahajah Quraisy adalah untuk:
·         Menjaga kemuliaan Al-Quran
·         Menjaga kemaslahatan umum agar golongan Islam tidak berpecah
            Sumber seterusnya pula adalah dari Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke 30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 telah memutuskan :
         ·            Bahan buangan atau lebihan yang mengandungi huruf atau ayat-ayat suci Al-Quran hendaklah dilupuskan secara berasingan daripada bahan-bahan lain, serta dilarang menggunanya semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.
         ·                                    Kaedah pelupusan sama ada secara pembakaran atau ditanam. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan adalah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal. (Dato’ Haji Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz : 2008 )
Justeru, melalui tiga sumber yang diterangkan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa hukum melupuskan mushaf atau teksAl-Quran selain dari Rasm Uthmani adalah harus  dengan syarat bahawa wujud keadaan yang memerlukan ia dilupuskan. 

Monday, November 26, 2012

Islam Bukan Sekadar Untuk Diminta Pendapat Sahaja

Sumber: Harakah (Edisi Jumaat)
Bilangan 1792 (2-4 Muharam 1434 / 16-18 Nov 2012)