Thursday, November 29, 2012

Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 3


(B) DALIL DAN HUKUM BERKAITAN PELUPUSAN NASKAH AL-QURAN
Pada bahagian kedua tugasan ini, penulis akan menyertakan dalil-dalil dan hukum berkaitan dengan perlupusan  naskhah Al-Quran. Saya mulakan dengan dapatan saya dari Syeikh Atiyya Saqar. Beliau merupakan salah seorang ahli Majlis Fatwa al-Azhar. Menurut beliau bahawa perbuatan  membakar Al-Quran adalah diharuskan, jika bertujuan untuk menyelamatkannya dari sebarang penghinaan.. Hujah ini disandarkan kepada riwayat yang telah berlaku pada zaman Saidina Uthman r.a yang pernah mengeluarkan arahan supaya membakar semua Al-Quran
Riwayat yang dimaksudkan adalah sejarah bermulanya pertelingkahan di antara orang Syam dan orang Iraq mengenai Al-Quran. Melalui Imam al-Bukhari dalam meriwayatkan daripada Anas bin Malik mnenai pengaduan Huzaifah bin al-Yaman kepada Saidina Uthman r.a tentang masalah ini yang mahfumnya:
Dia berkata: Wahai Amir al-Mukminin, selamatkanlah mereka itu sebelum pertelingkahan tentang al-Quran merebak, seperti yang telah terjadi kepada kaum Yahudi dan Nasrani. Lantas Saidina Uthman dengan segera menghantar utusan kepada Hafsah lalu berkata: Harap puan dapat hantarkan kepada kami naskhah al-Quran yang tersimpan pada puan untuk kami salin menjadi beberapa naskhah mushaf. Kemudian akan kami kembalikan semula kepada puan. Hafsah pun menghantar naskhah al-Quran itu kepada Uthman. Saidina Uthman dengan segera memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin Zubayr, Said bin al-'As dan Abdul-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menyalin kembali naskhah al-Quran itu ke dalam beberapa naskhah yang lain. Mereka pun terus melaksanakan perintah tersebut. Di samping itu, Saidina Uthman berpesan kepada ketiga-tiga pemuda Quraish dengan katanya: Kalau timbul pertelingkahan di antara kamu bertiga dengan Zayd bin Thabit tentang sesuatu tentang al-Quran, hendaklah kamu tulis perkara itu dengan lahjah Quraish kerana sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dengan lidah Quraish. Lalu mereka pun melaksanakan perintah itu. Apabila selesai menyalin naskhah asal, maka naskhah itu dikembalikan semula kepada Hafsah. Kemudian, naskhah-naskhah yang disalin itu dihantar ke seluruh negara, satu naskhah pada setiap tempat. Segala tulisan al-Quran lain sama ada di kulit-kulit, pelepah tamar dan sebagainya atau dalam bentuk mushaf, diperintah oleh Saidina Uthman untuk dibakarnya.
           
               Berdasarkan riwayat ini,  tujuan naskah yang diperintahkan oleh Saidina Uthman r.a untuk dibakar selepas menyeragamkan kepada bacaan lahajah Quraisy adalah untuk:
·         Menjaga kemuliaan Al-Quran
·         Menjaga kemaslahatan umum agar golongan Islam tidak berpecah
            Sumber seterusnya pula adalah dari Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke 30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 telah memutuskan :
         ·            Bahan buangan atau lebihan yang mengandungi huruf atau ayat-ayat suci Al-Quran hendaklah dilupuskan secara berasingan daripada bahan-bahan lain, serta dilarang menggunanya semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.
         ·                                    Kaedah pelupusan sama ada secara pembakaran atau ditanam. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan adalah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal. (Dato’ Haji Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz : 2008 )
Justeru, melalui tiga sumber yang diterangkan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa hukum melupuskan mushaf atau teksAl-Quran selain dari Rasm Uthmani adalah harus  dengan syarat bahawa wujud keadaan yang memerlukan ia dilupuskan. 

Monday, November 26, 2012

Islam Bukan Sekadar Untuk Diminta Pendapat Sahaja

Sumber: Harakah (Edisi Jumaat)
Bilangan 1792 (2-4 Muharam 1434 / 16-18 Nov 2012)



Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 2


( A) KEADAAN NASKAH AL-QURAN YANG BOLEH DILUPUSKAN
Penulis memulakan bahagian pertama iaitu keadaan naskhah Al-Quran yang boleh dilupuskan. Antara sebab yang memerlukan pelupusan naskah Al-Quran adalah seperti berikut:
1.      Mushaf Al-Quran Yang Tidak Boleh Dibaca Dan Bukan Rasm Uthmani.
2.      Naskhah Al-Quran Yang Telah Mengalami Kerosakan
3.      .Naskhah Al-Quran Yang Tersalah Cetak
4.      Teks Al-Quran Yang Terbiar
Pada perenggan seterusnya, penulis akan menghuraikan satu demi satu berdasarkan keadaan di atas.

  1. Mushaf Al-Quran Yang Tidak Boleh Dibaca Dan Bukan Rasm Uthmani.
          Sejarah pembukuan Al-Quran bermula dengan usaha oleh Khalifah Islam yang ketiga iaitu Saidina Uthman ibn Affan r.a. Pemilihan gaya dan kaedah seni khat Rasm Uthmani telah dipilih sebagai satu cara yang seragam dalam pembacaan. Setiap kalimah al-Quran yang ditulis adalah diambil kira segala aspek perbezaan bacaan al-Quran yang dikenali sebagai ilmu Qiraat. Ilmu ini menjelasankan perbezaan bacaan al-Quran berdasarkan bacaan imam-imam Qiraat yang masyhur.

         Oleh demikian, Rasm Uthmani sememangnya satu kaedah penulisan ayat-ayat suci al-Quran tinggi nilainya. Maka,setiap naskhah Al-Quran yang dicetak selain dari menggunakan Rasm Uthmani sewajarnya dilupuskan sebagai menghormati serta memuliakan Al-Quran serta mengelak daripada dibuang tanpa mengikut kaedah dan syarat yang dibenarkan.

2.      Naskhah Al-Quran Yang Telah Mengalami Kerosakan
Antara faktor yang menjadikan sesuatu naskah Al-Quran menjadi rosak adalah seperti dimakan anai-anai, kelembapan, bencana banjir, kebakaran, tempoh usia yang terlalu lama dan lain-lain lagi. Kerosakan ini akan menjadikan sesuatu bacaan tersebut tidak lengkap dan akan menjadi kesilapan ketika membacanya. Walaupun hanya kehilangan satu huruf, sudah pasti akan mengubah maknanya apatahlagi jika keadaan kerosakkannya adalah amat teruk. Maka, jalan terbaik bagi memelihara kemuliaannya haruslah ia dilupuskan melalui kaedah yang betul.

  1. Naskhah Al-Quran Yang Tersalah Cetak
 Berdasarkan Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 bahawa ayat-ayat Al-Quran yang meliputi mana-mana bahagiannya adalah dalam Bahasa Arab. Tidak dibenarkan sama sekali mencetaknya di dalam mana-mana medium seperti dalam aktiviti ukiran, reka bentuk, cetkan bahan terbitan, menjilid, mengilang dan lain-lain lagi. Setiap aktiviti pembuatan bahan-bahan yang mengandungi ayat suci Al-Quran perlulah dicetak dan diambil daripada mashaf rasm uthmani dengan kaedah seni khat yang betul. Dilarang sama sekali menulis mashaf al-quran dengan menggunakan tulisan selain daripada Bahasa Arab. Jika terdapat mushaf Al-Quran yang tersalah cetak berdasarkan daripada syarat-syarat serta larangan yang telah disebut di atas,maka wajarlah bahan tersebut dilupuskan.

  1. Teks Al-Quran Yang Terbiar
Teks seperti ini terdapat dalam pelbagai bentuk. Di antaranya ialah:
         ·            Buku-buku agama yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran.
         ·            Nota-nota pengajian yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran.
         ·            Karya penulisan dan penerbitan yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran.
Teks ini akan terbiar setelah tidak digunakan lagi sebagai rujukan. Ia akan tersimpan sekadar satu koleksi atau dobiarkan degan tanpa penjagaan.Walaupun ianya bukanlah naskah Al-Quran yang lengkap, namun ia mengandungi teks serta ayat Al-Quran yang suci.

Sunday, November 25, 2012

Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 1


PENDAHULUAN

Al-Quran merupakan Kitab Allah yang terakhir; diturunkan oleh Malaikat Jibril a.s kepada Rasulullah S.A.W sebagai panduan utama umat Islam di dalam melaksanakan segala  tanggungjawab seorang  khalifah Allah untuk memakmurkan bumi ini.
Bersesuaian dengan firman Allah swt:
 “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran,untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara dan mengawasinya...”(al-Maaidah:48)
           Ini juga disandarkan bersama Hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
“Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda:“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat”.
Di dalam tugasan ini, penulis akan menghuraikan mengenai tatacara yang dibenarkan untuk melupuskan  naskah atau teks Al-Quran. Bersesuain dengan kehendak yang akan dibincangkan sebagaimana subtopik yang disenaraikan di bawah:
A.    Keadaan naskhah Al-Quran yang boleh dilupuskan.
B.     Dalil dan hukum berkaitan dengan pelupusan  naskhah Al-Quran.
C.     Bentuk penyelewengan dalam melupuskan naskhah atau teks Al-Quran.
D.    Kaedah-kaedah berkaitan proses pelupusan naskhah dan teks Al-Quran
E.     Badan yang bertanggungjawab dalam mengusahakannya mengikut syariat.
Penulis juga beriktikad dan yakin bahawa kesucian dan kemulian Al-Quran akan terpelihara sehingga hari kiamat. Sebagaimana dalil dan janji Allah S.W.T di bawah; firman-Nya dalam Surah Al Hijr, ayat 9 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.
Justeru, akhir kalam pendahuluan daripada saya bahawa umat Islam haruslah mengenal dengan lebih mendalam mengenai ilmu Al-Quran, mengamalkannya dengan bimbingan sunnah Rasulullah S.A.W serta peka terhadap penjagaan dan cara terbaik dalam melupuskan sesuatu naskah atau teks dari Al Quran.

Tuesday, November 20, 2012

Kepentingan Pendidikan Dalam Islam - Bahagian 4 (Akhir)


(C) KESAN PENDIDIKAN YANG DILAKSANAKAN OLEH RASULULLAH S.A.W DALAM MEMBANGUNKAN MASYARAKAT ISLAM

Pada bahagian ketiga, penulis akan menjelaskan beberapa kesan hasil dari didkan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. sepanjang dakwahnya untuk menegakkan kebenaran wahyu Allah S.W.T melalui agama Islam. Sudah tentu banyak impak posittif telah berlaku di zaman Rasulullah S.AW. di mana Islam telah mencapai zaman kegemilangan sehingga menguasai 2/3 daripada seluruh dunia. Di sini saya akan menjelaskan tiga kesan sebagaimana di bawah:
Ø  Pembinaan akhlak yang terpuji lagi mulia
Ø  Penghijrahan dari jahil kepada beriman dan berilmu
Ø  Kewujudan suasana hidup yang aman sejahtera

  1. Pembinaan akhlak yang terpuji lagi mulia
Melalui pendidikan yang disampaikan dalam dakwah Rasulullah S.A.W telah menerapkan pelbagai ciri-ciri sebagai seorang muslim yang sejati ke dalam jati diri orang muslimin ketika itu. Islam suatu agama yang syumul dan indah telah membawa satu peraturan hidup yang baik serta mengajar manusia untuk menjadi khalifah bagi mentadbir bumi Allah ini. Keteladanan Rasulullah S.A.W. juga adalah merupakan salah satu faktor penting dalam membina akhlak yang terpuji lagi mulia. Selari dengan firman Allah dalam Surah al-Anbiya, ayat 107 yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami utuskan kamu kecuali sebagai rahmat kepada sekalian alam.”
Melalui ilmu pengetahuan serta didikan agama yang mantap akan dapat menghasilkan masyarakat Islam yang gemilang. Kesan dari akhlak mulia ini sudah tentu akan menjadikan suatu komuniti masyarakat yang aman sejahtera . 
  
  1. Penghijrahan dari jahil kepada beriman
Pada zaman sebelum  kedatangan Islam, penduduk tanah Arab hidup dalam kejahilan. Penyembahan berhala yang diturunkan dari nenek-moyang, pembunuhan anak-anak perempuan yang tidak berdosa, judi dan arak, maksiat dan pelbagai lagi berlaku dengan sewenang-wenangnya. Namun, setelah sinar Islam datang ke bumi Arab melalui penyampaian oleh Rasulullah S.A.W, masyarakat Arab telah berhijrah dari status jahil kepada beriman. Ini dapat dijelaskan dengan firman Allah S.W.T melalui Surah Al-Baqarah, ayat 151 yang bermaksud:
 “Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad) untuk membaca ayat-ayat kami kepada kamu, membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan juga mengajar kamu apa-apa yang kamu tidak tahu”
Sudah jelas bahawa martabat masyarakat Arab pada zaman itu telah diangkat setelah menerima kebenaran Islam. Maka, tidak hairanlah Islam dapat berkembang dengan pesat serta menakluk dunia hampir 2/3 pada zaman kegemilangannya.

  1. Kewujudan suasana hidup yang aman sejahtera
Sewaktu zaman sebelum kedatangan Islam, penduduk di anah Arab senantiasa hidup dalam porak-peranda. Perbalahan dan peperangan selalu berlaku serta berpanjangan. Ini berlaku kerana semangat hidup berpuak atau pun assabiyyah. Ikatan ini menjadi punca persengkatan semata-mata kerana ingin mempertahankan puak masing-masing.
Namun, datangnya Rasulullah S.A.W. membawa risalah kebenaran telah mengubah keadaan ini. Dalam Hadith Rasulullah S.A.W pernah bersabda; mafhumnya:
 “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak (budi pekerti) yang mulia.”
(Hadith Riwayat Ahmad)
Ditambah pula sokongan dari surah An-Nahl, ayat 64 yang bermaksud:
            “Dan kami tidak menurunkan kepadamu al-Quran ini, melainkan kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka berselisih faham itu,dan ia mendapat petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman itu”
Melalui didikan dan teladan dari Rasulullah S.A.W, bangsa Arab berjaya mewujudkan suasana hidup yang aman sejahtera. Umat Islam dapat hidup bersama orang bukan Islam dan saling bantu-membantu dalam memajukan ekonomi serta menjaga keselamatan umum.


KESIMPULAN
Melalui tugasan yang dibina ini, penulis dapat menyimpulkan bahawa ilmu pengetahuan adalah sangat penting bagi manusia menjalankan kehidupan seharian sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Melalui sistem pendidikan yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W, ilmu pengetahuan akan dapat memberi manfaat kepada manusia sebagaimana di bawah:
  1. Membezakan taraf di kalangan manusia.
  2. Martabat yang tinggi bagi orang yang berilmu.
  3. Membentuk keperibadian yang baik dan bertaqwa serta cintakan Rasul.
  4. Menjalankan ibadah dengan sempurna. 
Sudah pastinya, didikan dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. telah memberi perubahan posittif di mana Islam telah mencapai zaman kegemilangan sehingga menguasai 2/3 daripada seluruh dunia. Antara kesan-kesan yang dibincangkan adalah:
  1. Pembinaan akhlak yang terpuji lagi mulia
  2. Penghijrahan dari jahil kepada beriman dan berilmu
  3. Kewujudan suasana hidup yang aman sejahtera 
Justeru, penulis amat bersetuju dan ingin menekankan sekali lagi bahawa petingnya ilmu pengetahuan yang disokong oleh sistem pendidikan yang strategik dalam menyampaikan kebenaran Islam. Hanya satu tujuannya iaitu agar mendapat keredhaan-Nya serta mencapai kemenangan terunggul di akhirat kelak.
Wallahualam.

Monday, November 19, 2012

Kepentingan Pendidikan Dalam Islam - Bahagian 3


(B) KAEDAH PENDIDIKAN YANG DIAPLIKASI OLEH RASULULLAH S.A.W BERSERTA DALIL NAQLI.

Pada bahagian kedua ini, penulis akan menghuraikan kaedah yang digunakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W dalam menyalurkan pendidikan Islam semasa di Makkah dan Madinah. Kita mulakan terlebih dahulu dengan kaedah yang diaplikasi semasa Baginda S.A.W berada di Makkah  iaitu selama 13 tahun berdakwah. Terdapat dua kaedah yang digunakan iaitu secara rahsia (sir) dan terang-terangan (jahr).

  1. Dakwah secara rahsia (sir).
Umum mengetahui bahawa Rasulullah S.A.W memulakan dakwah dengan secara rahsia. Ia dimulakan dengan isteri Baginda S.A.W, Saiditina Khadijah. Cara ini digunakan bagi memastikan orang kafir Quraisy pada waktu itu tidak akan menyedari kerana dikhuatiri akan mendapat tentangan yang kuat akibat dari sikap mereka yang fanatik dalam mengamalkan agama nenek-moyang mereka iaitu penyembahan berhala.
Pada masa itu, hikmah dan fokus ajaran Rasulullah S.A.W adalah berbentuk akidah yang bertujuan untuk memantapkan pegangan akidah para muslimin. Proses ini menagmbil masa selama tiga tahun sehinggalah turunnya perintah Allah S.W.T melalui surah Al-Hijr, ayat 94 yang bermaksud:
“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.”
  1. Dakwah secara terang-terangan (jahr).
Setelah turunnya perintah dari ayat 94 Surah Al-Hijr yang dinyatakan di atas, Baginda Rasulullah S.A.W. telah mengumpulkan Bani Fihr dan Bani ‘Adi di atas Bukit Safa. Seraya Rasulullah S.A.W berkata, “Apakah kamu sekelian akan percaya atau tidak sekiranya aku ceritakan bahawa di sebalik bukit ini ada sekumpulan musuh yang akan menyerang kamu?” Mereka menjawab; “Sudah pasti kami akan percaya kerana kami belum pernah lagi mendengar perkataan dusta daripada kamu.”
Seterusnya Rasulullah S.A.W menaymbung ucapannya, “Sesungguhnya aku ini pembawa berita yang menakutkan, iaitu dihadapanku ini suatu azab sengsara yang paling hebat.” Abu Lahab pun bangun lalu menjawab; “Binasalah engkau wahai Muhammad, apakah untuk ini sahaja engkau kumpulkan kami?”

Maka, turunlah ayat Al-Quran dari Surah al-Lahab, ayat 1 yang bermaksud:
“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan Sesungguhnya dia akan binasa. Yang dimaksud dengan kedua tangan Abu Lahab ialah Abu Lahab sendiri.”
Dari peristiwa itu, bermulah penentangan dari orang Quraisy terhadap ajaran Islam yang dibawa oleh rasulullah S.AW. 

            Penulis akan menerangkan pula kaedah pendidikan yang digunakan sewaktu Baginda Rasulullah S.A.W berada di Madinah iaitu selama 10 tahun berdakwah.  Penghijrahan kaum Muhajirin ke Kota Madinah adalah setelah datangnya wahyu dari surah Al-Anfal, ayat 30 bahawasanya Allah berfirman dengan maksudnya:
Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.”.

Sejurus itu, satu perancangan yang teliti telah dibuat bagi menjayakan pelan penghijrahan yang membawa makna yang besar dalam sejarah Islam. Era dakwah Baginda Rasulullah S.A.W diterukan di Madinah dengan merancang beberapa pelan iaitu:
  • Pembinaan masjid
  • Persaudaraan antara Kaum Muhajirin dan Ansar
  • Perjanjian dengan orang bukan Islam
  • Usaha dakwah ke luar Madinah melalui utusan dan surat

Melalui pelan strategik ini, Baginda Rasulullah S.A.W telah menggunakan pula beberapa kaedah dalam meneruskan agenda dalam memantapkan lagi ilmu pengetahuan masyarakat Islam. Antara kaedah yang digunakan adalah:

  1. Penekanan dakwah dalam soal hukum-hakam
Masyarakat Islam di Madinah telah diberikan penekanan terhadap hukum-hakam dalam agama Islam. Hukum-hakam yang diturunkan adalah secara beperingkat dengan bermulanya perintah untuk mendirikan solat, hukum peperangan, perkahwinan, puasa di bulan Ramadhan, ibadat korban, zakat, pewarisan harta, talak, hukum zina, pengharaman arak judi dan tenung nasib dan lain-lain lagi. Kaedah penyampaian adalah melalui isi kandungan dakwah yang disampaikan melalui syarahan umum serta khutbah Jumaat. Ini adalah bertujuan untuk membina sebuah masyarakat Islam yang mulia.
  1. Kepelbagaian saluran dakwah dalam pendidikan
Medium dakwah yang pelbagai dalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W dalam menyampaikan pendidikan Islam. Tidak terhad kepada dakwah secara syarahan umum dan melalui khutbah Jumaat sahaja, media tulisan juga digunakan bagi menyampaikan ilmu. Cara ini digunakan sebagai salah satu langkah dakwah dengan menghantar utusan serta mesej bagi menerangkan keindahan dan kebenaran agama Islam.

  1. Kepelbagaian dalam persembahan dakwah
            Nabi Muhammad S.A.W. juga menggunakan pelbagai kaedah dalam gaya penyampaian dakwahnya. Ia bersesuaian dengan ciri-ciri golongan sasaran dengan menyesuaikan cara penyampaian cerita samada dengan membuat satu perbandingan, galakkan, amaran serta contoh yang baik. Sebagai contoh dalam Surah al-Ra’d, ayat 35 Allah berfirman dengan maksudnya;
“Sifat syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa itu ialah (sepeti taman), air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya, makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang bertakwa, sedang kesudahan orang-orang kafir pula ialah neraka”.
Melalui ayat ini, ia merupakan satu perbandingan antara balasan orang-orang yang bertakwa dan juga orang-orang yang kafir serta menolak kebenaran Islam. Ia juga menggambarkan betapa nikmatnya balasan syurga yang menanti para muslimin dan muslimat yang bertakwa yang menjadi galakkan kepada mereka agar terus berusaha mendapat keredhaan dari Allah S.W.T.

Friday, November 16, 2012

Tidak Syak, Al-Quran Mukjizat Terbesar Rasulullah s.a.w hingga Hari Kiamat

Sumber: Harakah (Edisi Jumaat)
Bilangan 1792 (2-4 Muharam 1434 / 16-18 Nov 2012)



Thursday, November 15, 2012

Hebahan Ceramah Agama


Tajuk: Ceramah Maal Hijrah

Penceramah: Ustaz Safful Maa'rof B. Hj. Mohd Kerjaya
Ketua Imam, Masjid al-Zakirin, Taman Wilayah Selayang, Kuala Lumpur.
http://masjidalzakirin-kl.blogspot.com/

Tempat: Madrasah Al-Ikhtisamiah Taman Melati, 53100 Setapak, Kuala Lumpur.
Tarikh: 2 Muharam 1434 /16 November 2012
Waktu: Selepas Solat Maghrib

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-masjlis ilmu.
(Riwayat At-Tabrani)

Jom singgah ke salah satu taman-taman Syurga!!!


For GAZA-Panduan Qunut Nazilah

Assalamualaikum w.b.t,

Sedia maklum bahawa saudara seIslam kita di Palestin sedang berperang dengan Zionis Israel dan masih berlarutan sehingga kini. Rentetan serangan awal yang dimulakan terhadap Palestin pada hari umat Islam menyambut Maal Hijrah dengan membunuh As-Syahid Ahmed Jabari, Ketua Sayap Tentera Hamas di Gaza melalui serangan udara yang dilakukan oleh Tentera Udara Israil (IAF).

Justeru, saya memohon sahabat-sahabat pembaca blog ini agar menggunakan senjata utama umat Islam iaitu doa. Amalkan Qunut Nazilah di dalam solat dan letakkan harapan sepenuhnya kepada Maha Pencipta, Maha Perkasa, Allah S.W.T.  Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar!!!

Saya sertakan panduan Qunut Nazilah yang diambil dari laman web rasmi JAKIM. Semoga bermanfaat.


PANDUAN QUNUT NAZILAH

Qunut ertinya membaca doa kerana sesuatu bala bencana supaya kita dilindungi Allah dari bahaya.


CARA MEMBACA QUNUT NAZILAH 
Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardhu: Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Ia dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Ruku’ untuk ‘Itidal.

Doa dibaca ketika berdiri untuk I’tidal. Ada tiga cara membaca doa tersebut. Imam boleh memilih salah satu dari cara-cara berikut:

1. Membaca doa Qunut sepertimana yang biasa dibaca ketika solat Subuh.
2. Membaca doa Qunut Nazilah sahaja sepertimana yang di dalam lampiran
3. Membaca doa Qunut subuh dan diikuti dengan doa Qunut Nazilah .

Peringatan:
· Jika para Imam tidak menghafal Qunut Nazilah yang dilampirkan, bolehlah membaca doa qunut sepertimana dalam solat subuh. Kemudian doa nazilah ini boleh dibaca selepas solat.

· Imam hendaklah memberitahu para jemaah bahawa qunut akan dibaca di dalam solat agar mereka meng-aminkan bersama doa tersebut.


DOA QUNUT NAZILAH

Maksudnya: 'Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.
Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur
Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.
Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”
Sumber : http://www.islam.gov.my/panduan-qunut-nazilah-0

Salam Maal Hirah 1434 dari Abah AF


Asslamualaikum w.b.t,

Bersempena 1 Muharam 1434 yang jatuhnya pada 15 Nov 2012, hari Khamis, saya ingin mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua Muslimin dan Muslimat tidak kira di mana anda berada. Dengan slogan pada tahun ini iaitu "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah" saya menyeru diri saya, keluarga saya dan semua pembaca agar berubah kepada yang lebih baik pada hari ini selagi kita diberikan kesempatan bernafas di muka bumi Allah S.W.T. 

Muhasabah diri kita sebagai hamba-Nya di mana tugas khalifah untuk memakmurkan bumi ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: 
"(Dan ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat:"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah dimuka bumi". (Surah al-Baqarah(2), ayat 30)

Sedarlah bahawa kita adalah hamba-Nya kepada tuannya iaitu Allah S.W.T di mana kita hidup di atas sifatnya iaitu ar-Rahman. Dengan rahmatnya, taatlah perintah-Nya dan tinggalkanlah larangan-Nya dengan senantiasa melakukan 'amal ma'ruf nahi mungkar'.

Salam Maal Hijrah dari saya.

Wassalam.

Kuliah Subuh 15 Nov 2012

Assalamualaikum w.b.t,

Kuliah subuh kali ini membicangkan mengenai hati manusia yang lalai setelah keluar dari seseuah majlis ilmu. Kisah ini berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W di mana Abu Hurairah r.a. meminta nasihat daripada Baginda S.A.W iaitu hati menjadi lembut mendengar segala ilmu yang disampaikan tetapi apabila berjauhan akan menjadi leka kepada perihal dunia.

Buat masa ini saya belum sempat untuk mengemaskini butiran dengan lebih lanjut. Insha-Allah, saya akan kemaskini pada masa hadapan.

Wassalam.


Wednesday, November 14, 2012

Kuliah Maghrib 14 Nov 2012

Assalamualaikum w.bt.,

Hari ini menitik air mata mendengar ilmu yang disampaikan oleh penceramah. Tidak sempat bertanyakan namanya. Dimulakan dengan Surah al-'Asr, surah ke 103 dalam Al-Quran, menyatakan bahawa manusia di dalam kerugian. 

Antara perkara penting yang disampaikan tadi ialah konsep hamba kepada Maha Pencipta iaitu Allah. Itulah tugas hakiki kita sebagai manusia dan khalifah di muka bumi ini. Hamba, yng menurut segalah suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya melalui panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. melalui agama Islam dengan berpandukan kitab Al-Quran dan as-Sunnah.

Dalam kehidupan seharian, kita perlu meletakkan diri kita sebagai hamba-Nya dalam apa jua perkara pun. Segala persoalan yang timbul, jawapannya ada pada agama Islam, hanya tinggal kita perlu serahkan kepada pihak yang berautoriti untuk merungkai segalanya.

Sebagai contoh, ambil situasi seorang isteri yang berkerjaya perlu meletakkan sepenuhnya ketaatan kepada suaminya walau dalam apa jua keadaan, di mana tempat bekerja dan dalam apa jua perkara sekali pun.

Contoh kedua, apabila suami meletakkan diri sebagai hamba Allah. Maka, Allah telah memerintahkan untuk memuliakan isteri. sama juga Allah menyuruh isteri yang meletakkan diri sebagai hamba Allah, perlu taat kepada suami.

Para golongan salafus soleh yang senantiasa menjaga solatnya. Ini kerana iman perlu dipupuk dan disuburkan sentiasa. Iman juga boleh diberikan dari Allah kepada hamba-Nya malahan boleh juga ditarik sekiranya tidak dijaga.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud,"Solat itu tiang agama, barang siapa yeng mengerjakannya maka ia menegakkan agamanya dan barangsiapa yang meninggalkannya ia meruntuhkan agamanya."
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya banyak lagi ilmu yang disampaikan. Namun, atas kelemahan saya sebagai hamba-Nya, mungkin ini yang dapat dikongsikan bersama buat masa ini.

Wassalam.

Kepentingan Pendidikan Dalam Islam - Bahagian 2


(A) KEPENTINGAN ASPEK PENDIDIKAN DALAM ISLAM DENGAN BERSANDARKAN KEPADA DALIL NAQLI.

Penulis memulakan bahagian pertama iaitu kepentingan pendidikan menurut Islam. Dari Anas bin Malik r.a, katanya Rasulullah S.A.W. bersabda,” Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam” (Ibnu Majah dan lain-lainya). Jelas dari hadith ini betapa pentingnya ilmu pengetahuan dan pendidikan kepada manusia. Antara kepentingannya adalah:

  1. Membezakan taraf di kalangan manusia.
Perbezaan antara taraf sesama manusia dipisahkan melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Ini disokong oleh dalil Al-Quran sebagaimana firman Allah dari Surah al-Zumar, ayat 9 yang bermaksud:
"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
  1. Martabat yang tinggi bagi orang yang berilmu
Ini dapat diperjelaskan melalui firman Allah dari Surah al-Mujudalah, ayat 11 yang bermaksud:
"Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan".
Dalam hadith yang lain Rasulullah S.A.W. menegaskan:
"Sesungguhnya Allah meninggikan martabat sesuatu kaum dengan Al-Quran ini (yakni ilmu tentang Al-Quran) dan merendahkan martabat yang lain kerananya".
 (Riwayat Muslim)


  1. Membentuk keperibadian yang baik dan bertaqwa serta cintakan Rasul
Melalui ilmu, seseorang mukmin sudah pasti akan lebih mengenali Maha Penciptanya serta Rasul yang dilantik bagi memandu umat manusia. Ini dapat dijelaskan melalui firman Allah dalam Surah al-Fathir, ayat 28 yang bermaksud: 
“Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”
Keperibadian yang baik dapat diteladani dari kekasih Allah, Baginda Rasulullah S.A.W melalui penghayatan sirah nabi. Denagn ini juga dapat membentuk sifat taqwa dalam jati diri seorang muslim yang sejati.
  1. Menjalankan ibadah dengan sempurna
Dalam perkara ibadat samada umum atau khusus sudah tentu memerlukan satu panduan yang dicetuskan dari ilmu pengetahuan. Al-Quran menjadi teras utama dan diselari dengan sunnah Rasulullah S.A.W. sebagai petunjuk kepada manusia. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al Hajj, ayat 54 yang bermaksud:
“Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.”   

Kepentingan Pendidikan Dalam Islam - Bahagian 1


Pendahuluan
Ilmu pengetahuan merupakan satu elemen penting dalam menjadikan seseorang manusia dalam memakmurkan bumi Allah bertepatan sebagai tugas seorang khalifah. Ilmu ini dapat disalurkan melalui satu sistem pendidikan yang mantap. Agama Islam amat mementingkan elemen pendidikan serta ilmu pengetahuan bersesuaian dengan firman Allah dalam Surah Al-Alaq, ayat 1-5 yang bermaksud:

“Bacalah dengan nama tuhan kamu yang menjadikan . Dia yang menjadikan manusia dari segumpal darah, bacalah dengan nama Tuhan kamu yang maha mulia yang maha mengajar manusia menulis dengan pena. Tuhan mengajar manusia perkara-perkara yang tidak diketahui”                                 
Sokongan kedua adalah dari Surah Al-Baqarah, ayat 31 -33 yang bermaksud:

"Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. (31) Malaikat itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (32) Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan." (33)

            Di dalam tugasan ini, penulis akan menghuraikan tentang:
  1. Kepentingan aspek pendidikan dalam Islam dengan disandarkan kepada dalil naqli.
  2. Menjelaskan tentang kaedah pendidikan yang diaplikasi oleh Rasulullah S.A.W sewaktu di Makkah dan Madinah.
  3. Kesan pendidkan yang dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W dalam membangunkan masyarakat Islam.
 Justeru, akhir kalam pendahuluan daripada saya bahawa umat Islam perlu menyedari bahawa pentingnya ilmu pendidikan bagi mencapai keredhaan Allah S.W.T untuk matlamat akhir di akhirat kelak. Insya-Allah.

Tuesday, November 13, 2012

Kuliah Subuh 13 Nov 2012

Assalamualaikum w.b.t,

Sedikit dapatan dari kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Hj Idris bin Hj. Ibrahim. Perihal takdir manusia yang telah ditulis di Luh Mahfuz iaitu 50 ribu tahun sebelum dijadikan langit dan bumi. Sejarah Nabi Adam a.s dan Hawa yang dikeluarkan dari Syurga bersama-sama ular yang menghasut dan iblis ke dunia. 300 tahun Nabi Adam a.s. memohon ampun kepada Allah, kita yang manusia biasa ini agak-agaknya berapa masa yang cukup untuk menghapus segala dosa yang tidak terkira banyaknya?

Kuliah juga menyebut tentang sakit yang datangnya dari Allah. Punca sakit adalah dari dosa perbuatan yang dilakukan oleh manusia itu sendiri. Dikongsikan juga amalan, pemakanan, serta doa bagi mengekalkan kesihatan yang baik.

Insha-Allah akan dihuraikan dengan lebih lanjut lagi.

Wassalam.

Kuliah Maghrib 13 Nov 2012

Assalamualaikum w.b.t,

Kuliah maghrib disampaikan oleh Ustaz Dr. Fauzi Deraman, membincagkan perihal perbandingan antara dunia dan akhirat. Apakah nilai serta hakikat dunia yang sementara ini? Antaranya ialah:
  1. Dunia ibarat fatamorgana
  2. Dunia ibarat mimpi
  3. Dunia ibarat sandiwara pementasan
  4. Dunia sebagai perhentian dalam sebuah perjalanan
Insha-Allah, akan dihuraikan dengan lebih lanjut pada masa akan datang.

Wassalam.

Resurrection of Abah AF Blog

Assalamualaikum w.b.t,

Resurrection atau kebangkitan. Tema bagi wajah baru blog Abah AF.

Blog Abah AF telah bermula pada 2010. Namun, dek sikap menangguh dan persaingan dengan akaun FB membuatkan blog Abah tidak diisi dengan posting berguna. Cuma dipenuhi dengan hiasan gadget sebagai  taktik mengelirukan pihak musuh.

Insha-Allah, bersempena dengan Muharam 2014 yang bakal menjelma saya akan cuba menghidupkan kembali blog Abah untuk dimanfaatkan bersama. Setidaknya, anak-anak Abah boleh mengetahui sedikit cebisan hidup Abah dahulu.

Jika ada mana-mana posting saya yang dirasakan mempunyai manfaat, ada fakta penyelewengan, berunsur misteri, pening lalat setelah membaca atau pun layak dikategorikan sebagai hadiah Nobel mahupun taraf sampah, silalah tinggalkan komen-komen anda bagi mengingati diri saya sebagai hamba-Nya yang lemah.

Wassalam.

Abah AF