Thursday, November 29, 2012

Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 3


(B) DALIL DAN HUKUM BERKAITAN PELUPUSAN NASKAH AL-QURAN
Pada bahagian kedua tugasan ini, penulis akan menyertakan dalil-dalil dan hukum berkaitan dengan perlupusan  naskhah Al-Quran. Saya mulakan dengan dapatan saya dari Syeikh Atiyya Saqar. Beliau merupakan salah seorang ahli Majlis Fatwa al-Azhar. Menurut beliau bahawa perbuatan  membakar Al-Quran adalah diharuskan, jika bertujuan untuk menyelamatkannya dari sebarang penghinaan.. Hujah ini disandarkan kepada riwayat yang telah berlaku pada zaman Saidina Uthman r.a yang pernah mengeluarkan arahan supaya membakar semua Al-Quran
Riwayat yang dimaksudkan adalah sejarah bermulanya pertelingkahan di antara orang Syam dan orang Iraq mengenai Al-Quran. Melalui Imam al-Bukhari dalam meriwayatkan daripada Anas bin Malik mnenai pengaduan Huzaifah bin al-Yaman kepada Saidina Uthman r.a tentang masalah ini yang mahfumnya:
Dia berkata: Wahai Amir al-Mukminin, selamatkanlah mereka itu sebelum pertelingkahan tentang al-Quran merebak, seperti yang telah terjadi kepada kaum Yahudi dan Nasrani. Lantas Saidina Uthman dengan segera menghantar utusan kepada Hafsah lalu berkata: Harap puan dapat hantarkan kepada kami naskhah al-Quran yang tersimpan pada puan untuk kami salin menjadi beberapa naskhah mushaf. Kemudian akan kami kembalikan semula kepada puan. Hafsah pun menghantar naskhah al-Quran itu kepada Uthman. Saidina Uthman dengan segera memerintahkan Zaid bin Thabit, Abdullah bin Zubayr, Said bin al-'As dan Abdul-Rahman bin al-Harith bin Hisyam supaya menyalin kembali naskhah al-Quran itu ke dalam beberapa naskhah yang lain. Mereka pun terus melaksanakan perintah tersebut. Di samping itu, Saidina Uthman berpesan kepada ketiga-tiga pemuda Quraish dengan katanya: Kalau timbul pertelingkahan di antara kamu bertiga dengan Zayd bin Thabit tentang sesuatu tentang al-Quran, hendaklah kamu tulis perkara itu dengan lahjah Quraish kerana sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dengan lidah Quraish. Lalu mereka pun melaksanakan perintah itu. Apabila selesai menyalin naskhah asal, maka naskhah itu dikembalikan semula kepada Hafsah. Kemudian, naskhah-naskhah yang disalin itu dihantar ke seluruh negara, satu naskhah pada setiap tempat. Segala tulisan al-Quran lain sama ada di kulit-kulit, pelepah tamar dan sebagainya atau dalam bentuk mushaf, diperintah oleh Saidina Uthman untuk dibakarnya.
           
               Berdasarkan riwayat ini,  tujuan naskah yang diperintahkan oleh Saidina Uthman r.a untuk dibakar selepas menyeragamkan kepada bacaan lahajah Quraisy adalah untuk:
·         Menjaga kemuliaan Al-Quran
·         Menjaga kemaslahatan umum agar golongan Islam tidak berpecah
            Sumber seterusnya pula adalah dari Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke 30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992 telah memutuskan :
         ·            Bahan buangan atau lebihan yang mengandungi huruf atau ayat-ayat suci Al-Quran hendaklah dilupuskan secara berasingan daripada bahan-bahan lain, serta dilarang menggunanya semula bagi apa-apa tujuan sekalipun.
         ·                                    Kaedah pelupusan sama ada secara pembakaran atau ditanam. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan adalah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal. (Dato’ Haji Wan Mohamad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz : 2008 )
Justeru, melalui tiga sumber yang diterangkan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa hukum melupuskan mushaf atau teksAl-Quran selain dari Rasm Uthmani adalah harus  dengan syarat bahawa wujud keadaan yang memerlukan ia dilupuskan. 

No comments: