Tuesday, November 20, 2012

Kepentingan Pendidikan Dalam Islam - Bahagian 4 (Akhir)


(C) KESAN PENDIDIKAN YANG DILAKSANAKAN OLEH RASULULLAH S.A.W DALAM MEMBANGUNKAN MASYARAKAT ISLAM

Pada bahagian ketiga, penulis akan menjelaskan beberapa kesan hasil dari didkan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. sepanjang dakwahnya untuk menegakkan kebenaran wahyu Allah S.W.T melalui agama Islam. Sudah tentu banyak impak posittif telah berlaku di zaman Rasulullah S.AW. di mana Islam telah mencapai zaman kegemilangan sehingga menguasai 2/3 daripada seluruh dunia. Di sini saya akan menjelaskan tiga kesan sebagaimana di bawah:
Ø  Pembinaan akhlak yang terpuji lagi mulia
Ø  Penghijrahan dari jahil kepada beriman dan berilmu
Ø  Kewujudan suasana hidup yang aman sejahtera

  1. Pembinaan akhlak yang terpuji lagi mulia
Melalui pendidikan yang disampaikan dalam dakwah Rasulullah S.A.W telah menerapkan pelbagai ciri-ciri sebagai seorang muslim yang sejati ke dalam jati diri orang muslimin ketika itu. Islam suatu agama yang syumul dan indah telah membawa satu peraturan hidup yang baik serta mengajar manusia untuk menjadi khalifah bagi mentadbir bumi Allah ini. Keteladanan Rasulullah S.A.W. juga adalah merupakan salah satu faktor penting dalam membina akhlak yang terpuji lagi mulia. Selari dengan firman Allah dalam Surah al-Anbiya, ayat 107 yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami utuskan kamu kecuali sebagai rahmat kepada sekalian alam.”
Melalui ilmu pengetahuan serta didikan agama yang mantap akan dapat menghasilkan masyarakat Islam yang gemilang. Kesan dari akhlak mulia ini sudah tentu akan menjadikan suatu komuniti masyarakat yang aman sejahtera . 
  
  1. Penghijrahan dari jahil kepada beriman
Pada zaman sebelum  kedatangan Islam, penduduk tanah Arab hidup dalam kejahilan. Penyembahan berhala yang diturunkan dari nenek-moyang, pembunuhan anak-anak perempuan yang tidak berdosa, judi dan arak, maksiat dan pelbagai lagi berlaku dengan sewenang-wenangnya. Namun, setelah sinar Islam datang ke bumi Arab melalui penyampaian oleh Rasulullah S.A.W, masyarakat Arab telah berhijrah dari status jahil kepada beriman. Ini dapat dijelaskan dengan firman Allah S.W.T melalui Surah Al-Baqarah, ayat 151 yang bermaksud:
 “Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad) untuk membaca ayat-ayat kami kepada kamu, membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan juga mengajar kamu apa-apa yang kamu tidak tahu”
Sudah jelas bahawa martabat masyarakat Arab pada zaman itu telah diangkat setelah menerima kebenaran Islam. Maka, tidak hairanlah Islam dapat berkembang dengan pesat serta menakluk dunia hampir 2/3 pada zaman kegemilangannya.

  1. Kewujudan suasana hidup yang aman sejahtera
Sewaktu zaman sebelum kedatangan Islam, penduduk di anah Arab senantiasa hidup dalam porak-peranda. Perbalahan dan peperangan selalu berlaku serta berpanjangan. Ini berlaku kerana semangat hidup berpuak atau pun assabiyyah. Ikatan ini menjadi punca persengkatan semata-mata kerana ingin mempertahankan puak masing-masing.
Namun, datangnya Rasulullah S.A.W. membawa risalah kebenaran telah mengubah keadaan ini. Dalam Hadith Rasulullah S.A.W pernah bersabda; mafhumnya:
 “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak (budi pekerti) yang mulia.”
(Hadith Riwayat Ahmad)
Ditambah pula sokongan dari surah An-Nahl, ayat 64 yang bermaksud:
            “Dan kami tidak menurunkan kepadamu al-Quran ini, melainkan kamu dapat menjelaskan kepada mereka apa yang mereka berselisih faham itu,dan ia mendapat petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman itu”
Melalui didikan dan teladan dari Rasulullah S.A.W, bangsa Arab berjaya mewujudkan suasana hidup yang aman sejahtera. Umat Islam dapat hidup bersama orang bukan Islam dan saling bantu-membantu dalam memajukan ekonomi serta menjaga keselamatan umum.


KESIMPULAN
Melalui tugasan yang dibina ini, penulis dapat menyimpulkan bahawa ilmu pengetahuan adalah sangat penting bagi manusia menjalankan kehidupan seharian sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Melalui sistem pendidikan yang telah diajarkan oleh Rasulullah S.A.W, ilmu pengetahuan akan dapat memberi manfaat kepada manusia sebagaimana di bawah:
  1. Membezakan taraf di kalangan manusia.
  2. Martabat yang tinggi bagi orang yang berilmu.
  3. Membentuk keperibadian yang baik dan bertaqwa serta cintakan Rasul.
  4. Menjalankan ibadah dengan sempurna. 
Sudah pastinya, didikan dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. telah memberi perubahan posittif di mana Islam telah mencapai zaman kegemilangan sehingga menguasai 2/3 daripada seluruh dunia. Antara kesan-kesan yang dibincangkan adalah:
  1. Pembinaan akhlak yang terpuji lagi mulia
  2. Penghijrahan dari jahil kepada beriman dan berilmu
  3. Kewujudan suasana hidup yang aman sejahtera 
Justeru, penulis amat bersetuju dan ingin menekankan sekali lagi bahawa petingnya ilmu pengetahuan yang disokong oleh sistem pendidikan yang strategik dalam menyampaikan kebenaran Islam. Hanya satu tujuannya iaitu agar mendapat keredhaan-Nya serta mencapai kemenangan terunggul di akhirat kelak.
Wallahualam.

No comments: