Sunday, November 25, 2012

Pelupusan Naskah dan Teks Al-Quran. Mengapa, Bagaimana dan Siapa? - Bahagian 1


PENDAHULUAN

Al-Quran merupakan Kitab Allah yang terakhir; diturunkan oleh Malaikat Jibril a.s kepada Rasulullah S.A.W sebagai panduan utama umat Islam di dalam melaksanakan segala  tanggungjawab seorang  khalifah Allah untuk memakmurkan bumi ini.
Bersesuaian dengan firman Allah swt:
 “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran,untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara dan mengawasinya...”(al-Maaidah:48)
           Ini juga disandarkan bersama Hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
“Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda:“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat”.
Di dalam tugasan ini, penulis akan menghuraikan mengenai tatacara yang dibenarkan untuk melupuskan  naskah atau teks Al-Quran. Bersesuain dengan kehendak yang akan dibincangkan sebagaimana subtopik yang disenaraikan di bawah:
A.    Keadaan naskhah Al-Quran yang boleh dilupuskan.
B.     Dalil dan hukum berkaitan dengan pelupusan  naskhah Al-Quran.
C.     Bentuk penyelewengan dalam melupuskan naskhah atau teks Al-Quran.
D.    Kaedah-kaedah berkaitan proses pelupusan naskhah dan teks Al-Quran
E.     Badan yang bertanggungjawab dalam mengusahakannya mengikut syariat.
Penulis juga beriktikad dan yakin bahawa kesucian dan kemulian Al-Quran akan terpelihara sehingga hari kiamat. Sebagaimana dalil dan janji Allah S.W.T di bawah; firman-Nya dalam Surah Al Hijr, ayat 9 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.
Justeru, akhir kalam pendahuluan daripada saya bahawa umat Islam haruslah mengenal dengan lebih mendalam mengenai ilmu Al-Quran, mengamalkannya dengan bimbingan sunnah Rasulullah S.A.W serta peka terhadap penjagaan dan cara terbaik dalam melupuskan sesuatu naskah atau teks dari Al Quran.

No comments: