Monday, November 19, 2012

Kepentingan Pendidikan Dalam Islam - Bahagian 3


(B) KAEDAH PENDIDIKAN YANG DIAPLIKASI OLEH RASULULLAH S.A.W BERSERTA DALIL NAQLI.

Pada bahagian kedua ini, penulis akan menghuraikan kaedah yang digunakan oleh Baginda Rasulullah S.A.W dalam menyalurkan pendidikan Islam semasa di Makkah dan Madinah. Kita mulakan terlebih dahulu dengan kaedah yang diaplikasi semasa Baginda S.A.W berada di Makkah  iaitu selama 13 tahun berdakwah. Terdapat dua kaedah yang digunakan iaitu secara rahsia (sir) dan terang-terangan (jahr).

  1. Dakwah secara rahsia (sir).
Umum mengetahui bahawa Rasulullah S.A.W memulakan dakwah dengan secara rahsia. Ia dimulakan dengan isteri Baginda S.A.W, Saiditina Khadijah. Cara ini digunakan bagi memastikan orang kafir Quraisy pada waktu itu tidak akan menyedari kerana dikhuatiri akan mendapat tentangan yang kuat akibat dari sikap mereka yang fanatik dalam mengamalkan agama nenek-moyang mereka iaitu penyembahan berhala.
Pada masa itu, hikmah dan fokus ajaran Rasulullah S.A.W adalah berbentuk akidah yang bertujuan untuk memantapkan pegangan akidah para muslimin. Proses ini menagmbil masa selama tiga tahun sehinggalah turunnya perintah Allah S.W.T melalui surah Al-Hijr, ayat 94 yang bermaksud:
“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.”
  1. Dakwah secara terang-terangan (jahr).
Setelah turunnya perintah dari ayat 94 Surah Al-Hijr yang dinyatakan di atas, Baginda Rasulullah S.A.W. telah mengumpulkan Bani Fihr dan Bani ‘Adi di atas Bukit Safa. Seraya Rasulullah S.A.W berkata, “Apakah kamu sekelian akan percaya atau tidak sekiranya aku ceritakan bahawa di sebalik bukit ini ada sekumpulan musuh yang akan menyerang kamu?” Mereka menjawab; “Sudah pasti kami akan percaya kerana kami belum pernah lagi mendengar perkataan dusta daripada kamu.”
Seterusnya Rasulullah S.A.W menaymbung ucapannya, “Sesungguhnya aku ini pembawa berita yang menakutkan, iaitu dihadapanku ini suatu azab sengsara yang paling hebat.” Abu Lahab pun bangun lalu menjawab; “Binasalah engkau wahai Muhammad, apakah untuk ini sahaja engkau kumpulkan kami?”

Maka, turunlah ayat Al-Quran dari Surah al-Lahab, ayat 1 yang bermaksud:
“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan Sesungguhnya dia akan binasa. Yang dimaksud dengan kedua tangan Abu Lahab ialah Abu Lahab sendiri.”
Dari peristiwa itu, bermulah penentangan dari orang Quraisy terhadap ajaran Islam yang dibawa oleh rasulullah S.AW. 

            Penulis akan menerangkan pula kaedah pendidikan yang digunakan sewaktu Baginda Rasulullah S.A.W berada di Madinah iaitu selama 10 tahun berdakwah.  Penghijrahan kaum Muhajirin ke Kota Madinah adalah setelah datangnya wahyu dari surah Al-Anfal, ayat 30 bahawasanya Allah berfirman dengan maksudnya:
Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya.”.

Sejurus itu, satu perancangan yang teliti telah dibuat bagi menjayakan pelan penghijrahan yang membawa makna yang besar dalam sejarah Islam. Era dakwah Baginda Rasulullah S.A.W diterukan di Madinah dengan merancang beberapa pelan iaitu:
  • Pembinaan masjid
  • Persaudaraan antara Kaum Muhajirin dan Ansar
  • Perjanjian dengan orang bukan Islam
  • Usaha dakwah ke luar Madinah melalui utusan dan surat

Melalui pelan strategik ini, Baginda Rasulullah S.A.W telah menggunakan pula beberapa kaedah dalam meneruskan agenda dalam memantapkan lagi ilmu pengetahuan masyarakat Islam. Antara kaedah yang digunakan adalah:

  1. Penekanan dakwah dalam soal hukum-hakam
Masyarakat Islam di Madinah telah diberikan penekanan terhadap hukum-hakam dalam agama Islam. Hukum-hakam yang diturunkan adalah secara beperingkat dengan bermulanya perintah untuk mendirikan solat, hukum peperangan, perkahwinan, puasa di bulan Ramadhan, ibadat korban, zakat, pewarisan harta, talak, hukum zina, pengharaman arak judi dan tenung nasib dan lain-lain lagi. Kaedah penyampaian adalah melalui isi kandungan dakwah yang disampaikan melalui syarahan umum serta khutbah Jumaat. Ini adalah bertujuan untuk membina sebuah masyarakat Islam yang mulia.
  1. Kepelbagaian saluran dakwah dalam pendidikan
Medium dakwah yang pelbagai dalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W dalam menyampaikan pendidikan Islam. Tidak terhad kepada dakwah secara syarahan umum dan melalui khutbah Jumaat sahaja, media tulisan juga digunakan bagi menyampaikan ilmu. Cara ini digunakan sebagai salah satu langkah dakwah dengan menghantar utusan serta mesej bagi menerangkan keindahan dan kebenaran agama Islam.

  1. Kepelbagaian dalam persembahan dakwah
            Nabi Muhammad S.A.W. juga menggunakan pelbagai kaedah dalam gaya penyampaian dakwahnya. Ia bersesuaian dengan ciri-ciri golongan sasaran dengan menyesuaikan cara penyampaian cerita samada dengan membuat satu perbandingan, galakkan, amaran serta contoh yang baik. Sebagai contoh dalam Surah al-Ra’d, ayat 35 Allah berfirman dengan maksudnya;
“Sifat syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang takwa itu ialah (sepeti taman), air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya, makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang bertakwa, sedang kesudahan orang-orang kafir pula ialah neraka”.
Melalui ayat ini, ia merupakan satu perbandingan antara balasan orang-orang yang bertakwa dan juga orang-orang yang kafir serta menolak kebenaran Islam. Ia juga menggambarkan betapa nikmatnya balasan syurga yang menanti para muslimin dan muslimat yang bertakwa yang menjadi galakkan kepada mereka agar terus berusaha mendapat keredhaan dari Allah S.W.T.

No comments: